Make your own free website on Tripod.com

    Kepentingan telefon bimbit

           Telefon bimbit tidak lagi dapat dinafikan menjadi.semakin  meluas penggunaan dan pengaruhnya. Kalau dahulu boleh dikatakan penggunaan telefon bimbit ini  tertumpu kepada golongan korporat, ahli perniagaan serta kakitangan sektor awam dan swasta. Kini golongan pelajar pula khususnya di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) pula telah mempelopori kegunaan telefon bimbit.

           Apatah lagi dengan ada syarikat pengeluar telefon bimbit serta syarikat-syarikat telekomunikasi kini banyak menawarkan produk pada harga berpatutan di samping menyediakan sistem kad prepaid (simcard) yang lebih murah. Golongan pelajar IPT menggunakan telefon bimbit kerana beberapa sebab.

      Antaranya bagi memudahkan mereka membuat urusan dengan rakan-rakan seperti perbincangan pelajaran, perjumpaan dan mesyuarat melalui kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) yang popular di kalangan pelajar. Tidak hairanlah sekiranya pelajar telah menjadikan telefon bimbit ini sebagai alat keperluan  penting. 

      Namun demikian, kepesatan teknologi yang canggih telah mencipta satu revolusi kepada dunia telefon bimbit daripada sebagai alat berbual dan SMS kepada kegunaan yang pelbagai. Terdapat telefon bimbit yang dilengkapi grafik berwarna, sistem kamera digital yang boleh merakam gambar dan terbaru boleh menonton siaran televisyen.

       Pelajar IPT juga tidak ketinggalan dalam menggunakan teknologi terkini telefon bimbit. Fenomena di IPT telah  memperlihatkan sesetengah pelajar memiliki telefon bimbit yang harganya boleh mencecah seribu ringgit sedangkan terdapat pensyarah universiti hanya memakai telefon bimbit biasa (contoh model Nokia 3310). 

Kembali ke laman utama