Make your own free website on Tripod.com

 

Pandangan pelajar

Beberapa pelajar yang ditemui  mempunyai alasan tersendiri mengapakah mereka menggunakan telefon bimbit. Hanif Abdul Khatam, pelajar Tahun 2 jurusan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan beliau mempunyai alasan tersendiri untuk menggunakan telefon bimbit. Menurut beliau, dengan adanya telefon bimbit amat memudahkan beliau berhubung dengan rakan-rakan.

        Memandangkan beliau yang berasal dari Sabah  berjauhan dengan keluarga, maka telefon bimbitlah menjadi alat pengubat rindu bersama keluarga tersayang yang jauh di mata. Beliau berpendapat penggunaan telefon bimbit ini adalah sebagai satu keperluan yang berguna apatah lagi dalam menjalani kehidupan di kampus yang memudahkan beliau berurusan dengan rakan seperti perbincangan pelajaran, perjumpaan mahupun  mesyuarat.

         Pada pandangan beliau, memiliki telefon bimbit biasa sudah memadai kerana beliau bukan berasal dari keluarga yang berada untuk menggunakan telefon bimbit mahal. Telefon bimbit model Nokia 3310 sudah pun mencukupi buat kegunaannya di kampus. Pelajar Tahun 2 Fakulti Sains UKM yang dikenali sebagai Salleh beranggapan selain menjadikan telefon bimbit sebagai keperluan, ianya juga mengandungi teknologi yang boleh dimanfaatkan. Beliau yang memiliki telefon bimbit model Panasonic berharga RM 1000 mengatakan bahawa telefonnya itu mengandungi sistem grafik berwarna, sistem  perakam suara dan sistem perakam gambar.

       Sistem grafik berwarna jelas beliau amat menarik. Sistem perakam suara pula membolehkan beliau merakam suara serta memilih rangkaian lagu dari komputer  untuk ‘ringtone’ hanya dengan merakamkan bunyinya sahaja. Lebih menarik lagi sistem perakam gambar yang membolehkan beliau merakam gambar tanpa penggunaan kamera biasa. Telefon miliknya telah mendedahkan beliau kepada teknologi terkini. Tidak dinafikan harga telefon seperti yang dimilikinya itu tinggi di pasaran tetapi memandangkan beliau mampu, maka tidak salah membeli dan secara tidak langsung teknologi telah dapat dimanfaatkan.